Oleh: Andi Suwirta & Sri Redjeki Rosdianti
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sejarah UPI (Universiti Pendidikan Indonesia); dan Guru Sejarah SMA (Sekolah Menengah Atas) Labschool UPI Kampus Cibiru di Bandung.
Pada hari Isnin, 17hb April 2023, kami dicadang oleh Kak Nong (Prof Dr Noriah Mohamed) dan Abang Ghazali (Prof Dr Ghazali Basri) untuk hadir dalam majlis pelancaran karya agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain, Pelancaran karya agung yang disempurnakan oleh YAB PM 10 Malaysia, DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu dianjur oleh Yayasan Karyawan bekerjasama dengan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) di Kuala Lumpur, Malaysia.
Kami berhasrat hadir dalam majelis berkenaan, kerana dua perkara. Pertamanya, buku yang mahukan dilancar itu – diselenggara oleh Kak Nong, atau kerap dipanggil “Noriah Jawa”, pasal pakar mengenai sastra dan budaya Jawa-Melayu di Malaysia, dan rakan-rakan – adalah penting dan relevan dengan dimensi kepimpinan di alam Melayu dan Global. Kedua, pelancaran tersebut disempurnakan oleh orang nombor 1 dalam kerajaan Malaysia, yang jarang berlaku di Indonesia.
PM Malaysia mahukan menyempurnakan pelancaran buku, bermaksud seorang pemimpin yang cintakan ilmu dan suka ambil iktibar daripada pengajaran sejarah. Di negara lain, khasnya Indonesia, para sejarawan dan pendidik sejarah yang berhimpun dalam pertubuhan MSI (Masyarakat Sejarawan Indonesia) dan berjaya menyelenggara buku standard, iaitu SNI (Sejarah Nasional Indonesia), 6 Bilangan, pada 1977; dan IDAS (Indonesia Dalam Arus Sejarah), 9 Bilangan, pada 2010, tidak dilancar dan tidak disempurnakan, sama ada oleh Presiden mahupun Ahli Jamaah Menteri.
Kami dengar dan tengok bahawa para sejarawan Malaysia, secara berpasukan, yang berhimpun dalam PSM (Persatuan Sejarah Malaysia), belum berjaya menulis Sejarah Negara-Bangsa Malaysia yang standard dan bakal dijadikan rujukan oleh buku-buku teks sejarah untuk sekolah menengah. Bila berjaya, kami yakin dan percaya, ianya bakal dilancar terus dan disempurnakan oleh YAB PM Malaysia, sepertimana berlaku pada pelancaran karya agung ini.
Pemimpin dan Insan Mulia
Kitab Sayr al-Salikin dikarang oleh Abdul Samad al-Palimbani (1704-1789), ulama sufi terbilang daripada Palembang, Sumatera Selatan. Amalan tasawuf Abdul Samad mengikut kepada tasawuf moderat Imam Al-Ghazali (1058-1111), yang seimbang antara amalan syariat (eksoteris) dengan makrifat (esoteris). Abdul Samad tidak bersetuju dan menapikan ajaran tasawuf melampau, sepertimana diamalkan oleh Husain Manshur al-Hallaj di Baghdad pada kurun 10 Masehi, yang menyatakan Ana al-Haqq (Aku adalah Kebenaran Mutlak); dan Syekh Siti Jenar di Jawa pada kurun 16 Masehi, yang mengajarkan Manunggaling Kawula lan Gusti (Penyatuan Makhluk dengan Penciptanya).
Kitab Sayr al-Salikin adalah huraian dalam bentuk syair yang mengandungi nasihat, saranan, dan cadangan kepada umat Islam, termasuk Ulil Amri (Raja/Pemimpin) di dalamnya. Abdul Samad nampaknya mengikut Imam Al-Ghazali, yang mengarang kitab Nasihat al-Mulk (Nasihat kepada Penguasa). Dalam konteks kepimpinan di alam Melayu, Sayr al-Salikin adalah nasihat mengenai kaedah, cara, dan jalan untuk mencapai kesempurnaan insan secara zahir dan bathin.
Pemimpin yang salikin akan menjadi manusia salihin, iaitu insan-insan yang taat dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Insan yang salikin dan salihin pula menghala kepada Insan al-Kamil (Manusia Sempurna), iaitu sosok pribadi Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri. Ciri-ciri dari pemimpin yang salikin dan salihin adalah beriman, berilmu, dan bertaqwa, serta bertindak adil dan saksama.
Manakala Hikayat Iskandar Zulkarnain adalah karya tiada nama pengarang, yang diterjemahkan kedalam huruf Jawi dan bahasa Melayu pada kurun 16 Masehi. Hikayat ini mengandungi kisah Alexander the Great (Iskandar Zulkarnain), raja daripada Makedonia yang terbilang di serata Dunia. Dalam Sejarah Melayu ada dinyatakan bahawa Sang Sapurba daripada Bukit Siguntang, Palembang – cikal-bakal daripada Raja-raja Melayu – ialah keturunan Iskandar Zulkarnain.
Raja Melaka ada yang namanya Sultan Megat Iskandar Syah (1414-1424). Manakala Raja Aceh terbilang pula ada bernama Sultan Iskandar Muda (1607-1636) dan Sultan Iskandar Tsani (1636-1641). Bermaksud bahawa Sultan berkenaan, sama ada menganggap keturunan terus atau mahukan mencontohi kehebatan tokoh Iskandar Zulkarnain, sebagai Raja Diraja di serata Dunia.
Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain adalah pedoman dan pengajaran bagi para pemimpin di alam Melayu untuk menjadi insan mulia. Raja-raja di Jawa, khasnya di Yogyakarta dan Surakarta hingga sekarang, ada keazaman untuk mengamalkan kandungan Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain. Perkara itu boleh dikesan daripada gelaran yang diguna-pakai, iaitu Senopati ing Alogo (Jaguh Perang macam Iskandar Zulkarnain), Sayidin Panotogomo (Paham Ugama macam Orang-orang Salihin), Khalifatullah ing Tanah Jowo (Wakil Allah di Tanah Jawa).
Akhir sekali, Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain memberi pedoman dan pengajaran praktikal dan terus dalam komunikasi dan budaya politik. Pemimpin sebagai insan mulia – dalam politik kontemporari Malaysia – kena ada budi bahasa yang baik, sepertimana kerap dibangkitkan dan diperjuangkan oleh Senator Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, pemimpin yang juga menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni Melayu-Jawa di negara Malaysia. Tidak mengaibkan orang lain, termasuk tidak mengguna-pakai kata-kata kesat dan maki-hamun, adalah ciri-ciri insan yang mulia. Bila masih wujud seorang pemimpin, sama ada bekas PM, Ahli Parlimen, mahupun Ahli Parti Politik, yang suka mengaibkan orang lain dan/atau menghentam orang lain dengan ayat-ayat yang kesat, kasar, dan arogan, maka ianya belum lagi menjadi pemimpin sejati dan insan mulia, tetapi pemimpin Melayu yang palsu dan hina-dina.
Gambar Masa Ikut Majlis Pelancaran Karya Agung:
